
Dipetik daripada berita harian (Sabtu, 17 Januari 2009/20 Muharam 1430)
Oleh Che Johari Mamat
KUALA LUMPUR: Penggunaan mandatori bahan api bio Envo Diesel Ester (EDE) B5 dilancar secara rasmi dalam negara bermula dengan kenderaan agensi kerajaan berenjin diesel dan akan berkuat kuasa Februari 2009.
Pelancarannya disempurnakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui di sini baru-baru ini bagi penggunaan kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Pentadbiran), Datin Normah Malik selaku tuan rumah majlis pelancaran itu.
Datuk Peter Chin berkata, pelaksanaan penggunaan bahan api bio EDE B5 itu akan dilakukan secara berperingkat bermula dengan kenderaan milik jabatan Persekutuan, negeri dan seterusnya diikuti oleh kenderaan sektor pengangkutan dan industri.
“Pelaksanaan sepenuhnya dijadualkan pada 2010,” katanya.
“Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan ke arah pelaksanaan Dasar Bio Bahan Api Negara yang dilancarkan oleh kerajaan pada 21 Mac 2006 lalu bagi mengeluar dan menggunakan bahan api bio dalam negara dan pada masa yang sama untuk tujuan eksport.” katanya
MPOB mula melaksanakan kajian teknikal adunan biodiesel dengan petroleum diesel dengan pihak swasta sejak tahun 1980-an. Berdasarkan kesesuaian penggunaannya, Kerajaan bersetuju adunan itu dijadikan sebagai satu strategi teras pelaksanaan Dasar Bio Bahan Api Negara.
Beliau berkata, penggunaan minyak sawit sebagai bahan bakar alternatif kepada petroleum akan meningkatkan penggunaan komoditi itu dan meningkat nilai tambah sekali gus berupaya menjana pendapatan.
Pengeluaran bahan api bio untuk eksport pula akan merangsang permintaan ke atas minyak sawit dan berupaya menyumbang kepada peningkatan harga ke paras yang lebih tinggi.
Penggunaan bahan api ini juga akan mengurangkan penggantungan kepada petroleum dan berupaya mengurangkan pelepasan karbon dioksida.
“Langkah ini membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia komited terhadap kesejahteraan alam sekitar terutama bagi mengurangkan kesan pemanasan global akibat dari pelepasan gas rumah hijau itu,” katanya.
Sempena pelancaran itu, Datuk Peter Chin Fah Kui bersama Datuk Seri Zulhasnan mengisi minyak EDE B5 ke dalam kenderaan diesel DBKL, JKR, Selangor dan ATM dengan disertai Pengerusi MPOB, Dato’ Sabri Ahmad dan Ketua Pengarah MPOB, Dato’ Dr Mohd Basri Wahid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan